Friday, October 2, 2009

Kepentingan memperkaya bahan ilmu dan dakwah dalam Bahasa Malaysia di alam siber

Pada 1.10.09 saya telah mengikuti sedikit slot kempen Bulan Bahasa di TV3 yang disampaikan oleh seorang wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara tujuan kempen adalah untuk memertabatkan Bahasa Malaysia (Malayu) sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu & bahasa perdagangan yang akhirnya dapat membentuk jatidiri orang Malaysia. Beliau memaklumkan Bahasa Melayu menduduki tangga ke 5 di antara 20 bahasa rasmi (dituturkan oleh lebih 50 juta orang) daripada lebih 6000 bahasa yang digunakan di dunia. Seramai lebih 300 juta orang menggunakan (penutur) Bahasa Melayu di seluruh dunia. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan telah terbukti di Malaysia dengan terhasilnya ramai pakar-pakar daripada universiti-universiti tempatan dalam pelbagai bidang yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar daripada awal pengajian sehingga peringkat tertinggi. Dalam bidang penerbitan pula perbagai bahan rujukan berasaskan Bahasa Malaysia telah diterbitkan dalam pelbagai bidang. Pendek kata kemudahan infrastruktur Bahasa Malaysia di Malaysia telah menukupi untuk menjadikannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan.
Sebagai rakyat Malaysia adalah wajar untuk kita berbangga dengan pencapaian bahasa kita dan menyokong kempen ini (dan seterusnya) supaya hasrat memertabatkan Bahasa Malaysia (Malayu) sebagai bahasa rasmi dan jatidiri rakyat Malaysia menjadi kenyataan dan sentiasa diperkukuhkan sepanjang masa.

Satu lagi aspek yang saya fikir perlu dilihat adalah dari segi kemampuan Bahasa Malaysia (dengan fakta di atas) untuk menjadi antara bahasa utama untuk dakwah dan ilmu di alam siber di masa depan tidak dapat ditolak. Kita perlu mengambil peluang ini untuk memperbanyak bahan-bahan ilmu (dakwah) yang boleh memanfaatkan potensi pembaca (sasaran dakwah) berjumlah lebih 300 juta di seluruh dunia. Sudah tentu selepas 5 tahun atau 10 tahun bilangan penutur Bahasa Malaysia (sasaran pembaca/dakwah) akan bertambah dengan banyaknya dengan syarat faktor-faktor penarik (pulling power) dapat diwujudkan dan dipertahankan antaranya dengan mengadakan sebanyak mungkin bahan-bahan (kandungan) yang bernilai ilmu dan mempromosinya secara berkesan (strategic). Jika bahan-bahan bernilai ilmu berkurangan jumlah penutur mungkin makin berkurang dan akhirnya bahasa yang digunakan juga boleh pupus di suatu masa nanti. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha memperkaya kandungan ilmu dan dakwah dalam Bahasa Malaysia di alam siber sesuai dengan tuntutan perubahan zaman – Era Maklumat.

Adalah diharapkan catatan ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat (jika ada) kepada kita dalam menjalani kehidupan bertakwa. Semoga dengan membetulkan sikap terhadap kemampuan Bahasa Malaysia ianya akan menjadikan kita lebih yakin dengan bahasa sendiri dan mula mempromosi penggunaannya dalam pelbagai peluang (termasuk di alam siber). Bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat berbahasa yang kita gunakan setiap hari. Semoga kita mendapat keredhaan, pertolongan dan mendapat rahmat daripada Allah SWT untuk menjalani hidup di dunia dan di akhirat. Amin!

No comments:

Post a Comment