Friday, September 18, 2009

Pesanan Guru (Bil. 1)

Sempena sambutan hari Nuzul Al-Quran (17 Ramadhan 1430H), imam Solat Tarawih, Ustaz Norazamudin (Ust. Azam) telah menyampaikan tazkirah pendek selepas menunai 4 rakaat Solat Sunat Tarawih kepada lebih kurang 100 jemaah yang hadir di Surau Riyadhus Salihin, Taman Austral Kota Kinabalu. Dalam tazkirah tersebut beliau menekankan keperluan untuk ummat Islam kembali mengangkat memurtabat kemuliaan Al-Quran ditempatnya – bukan sekadar disimpan, dijaga rapi dalam almari tanpa dimanfaat atau cuma dibaca (sekali sekala) dalam bulan Ramadhan untuk mendapat keberkatan bulan Ramadhan. Atau lebih menyedihkan lagi sehingga berhabuk atau disimpan di atas peti TV yang memaparkan pelbagai program-program berbentuk maksiat (bercanggah dengan kewajaran penghormatan kepada kemuliaan Al-Quran).

Kita sebagai orang Muslim yang berserah diri kepada Allah SWT sewajarnya memuliakan Al-Quran, kitab yang mulia datang daripada Allah SWT yang Maha Mulia diturunkan kepada Rasulullah SAW yang mulia oleh malaikat Jibrail yang mulia di bulan yang mulia (Ramadhan) di malam yang mulia (malam Lailatur Qadar) kepada umat yang mulia (ummat Islam), ummat Nabi Muhammad SAW, Nabi dan Rasul akhir zaman.

Beliau membacakan beberapa potong ayat Al-Quran antaranya Surah Al-Baqarah ayat 2-5 dan ayat 185 yang bermaksud:

“Kitab (Al Qur'an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa, (yaitu) mereka yang beriman kepada yang gaib, yang mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Qur'an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung”. (Al-Baqarah [2]: 2-5)

Surah Al-Baqarah ayat 2-5 dan ayat 185:

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah [2]: 185)

Adalah jelas ayat-ayat yang dibaca di atas menyatakan fungsi utama Al-Quran adalah sebagai petunjuk kepada orang-orang bertakwa (orang Islam) dan menjadi pembeda antara yang hak dan yang batil.

Seterusnya Ust. Azam mangajak semua hadirin untuk membetulkan sikap kita terhadap Al-Quran dengan melaksanakan perkara-perkara atau strategi berikut:

1) Cintakan Al-Quran
Kita perlu berusaha untuk mencintai dan sentiasa memupuk (menyemarak) perasaan cintakan Al-Quran. Tabiat orang bercinta adalah sentiasa rindu dan ingin selalu bersama. Jika perasaan ini hadir hati kita akan rasa seronok dengan Al-Quran sepanjang masa. Seronok untuk memilikinya, membacanya, mengkaji dan memahaminya, dan seterusnya.

2) Baca Al-Quran
Sebagai bukti cinta kita perlu membacanya Al-Quran bukan sekadar dijaga dan di simpan ditempat yang terhormat. Kita perlu membaca dengan bacaan yang betul. Setiap huruf yang dibaca akan diberi pahala oleh Allah SWT dan mendatangkan keberkatan yang banyak terutama bila di baca dalam bulan Ramadhan. Kita juga digalakkan untuk membaca dengan melagukannya supaya bacaan kita bukan sahaja betul dari segi tajwid (kaedah bacaaan) tetapi juga merdu didengari.

3) Memahami (mengkaji) Al-Quran
Tidak cukup dengan membaca, ummat Islam dianjur untuk mengkaji dan memahami isi kandungan Al-Quran. Dengan memahaminya kita boleh mengambil manfaat untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat. Al-Quran akan memberi petunjuk kepada kita dalam soal akidah, ibadat, akhlak, dan syariat sebagai panduan dan penyelesaian (solution) kepada keperluan kedidupan individu, bermasayarakat, bernegara serta berinternasional. Pelbagai aspek asas kehidupan disentuh dalam Al-Quran misalnya soal-soal ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, pemerintahan, perundangan, sains dan teknologi dan lain-lain.

4) Berakhlak dan beramal dengan isi kandungan Al-Quran
Sekadar memahami kandungan tetapi tidak berakhlak dan beramal dengan Al-Quran bermakna kita gagal untuk mangambil bermanfaatnya. Perlu buat muhasabah diri dan seterusnya membuat perubahan berpandukan ajaran-ajaran Al-Quran barulah menampakkan kesannya. Nabi Muhammad SAW dikatakan sebagai “Al-Quran bergerak” kerana beginda berakhlak dengan akhlak Al-Quran dalam seluruh lapangan hidup baginda. Begitu juga dengan kehidupan para sahabat baginda.

5) Menyampaikan isi kandungan Al-Quran
Kita dituntut untuk menyampaikan isi kandungan Al-Quran kepada sesama kita atau orang-orang bukan Muslim dengan cara bijaksana. Kehidupan kaum muslim perlu disuluh, dibangun dan dikukuhkan dengan Al-Quran. Semoga bilamana Al-Quran di amalkan secara betul dan meluas maka terbentuklah ummat yang bertakwa yang sentiasa mendapat keredhaan dan pertolongan Allah SWT.

Adalah diharapkan catatan tazkirah yang dikongsikan ini dapat memberi sedikit input kepada kita dalam menjalani kehidupan bertakwa yang lebih baik. Semoga dengan membetulkan sikap dan tindakan kita terhadap Al-Quran ianya akan menjadikan kita semakin dekat dengan keredhaan dan mendapat pertolongan daripada Allah SWT dalam menjalani hidup di dunia dan di akhirat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada YBhg. Ustaz Azam (guru saya) sekeluarga dan juga kita semua yang mendapat manfaat daripada catatan tazkirah ini.

No comments:

Post a Comment