Tuesday, September 1, 2009

Pesanan Tn. Hj. Rozhan Hj. Hamdan Bil. 1

Pada 31.8.2009 saya berpeluang melawat Tn. Hj. Rozhan Hj. Hamdan (Ayahanda) seorang usahawan mee di Kota Kinabalu sejak lebih 15 tahun lalu. Umur beliau telah mencapai usia 82 tahun dan Alhamdulillah ingatan, kecerdasan intelek dan kesihatannya masih baik cuma keadaan fizikal agak lemah disebabkan faktor usia (mata ada sedikit masalah bila memandu diwaktu malam dan pergerakannya agak terhad) namun begitu masih bersemangat untuk memajukan perniagaannya, katanya untuk menunaikan kewajipan Fardhu Kifayah untuk menyedia mee halal untuk kegunaan orang-orang Islam di Kota Kinabalu.

Ayahanda Hj. Rozhan tinggal bersama seorang isteri yang juga sudah lanjut usia. Saya dimaklumkan beliau mempunyai seorang anak yang tinggal di Semenjung Malaysia. Beliau bahagia dan sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan kehidupannya. Mempunyai perniagaan sendiri, isteri yang taat, anak yang soleh (terpelajar, berjaya dalam perniagaan, dan selalu bertanya khabar dan minta nasihat/restu beliau bila ada perkara-perkara penting). Rumah beliau agak selesa berhampiran masjid dan selalu menerima tamu dari dekat dan jauh. Setiap hari beliau menjadi imam di masjid berhampiran rumahnya terutama untuk untuk solat Subuh, Zohor dan Asar berjemaah.

Semasa saya tiba beliau sedang berehat selepas selesai membaca Al-Quran. Terdapat beberapa naskah Al-Quran, kitab tafsir dan satu koleksi keratan akhbar berupa rencana-rencana yang ditulis anaknya. Dalam hati saya berkata “Alangkah bahagian dan teraturnya kehidupan Ayahanda Hj. Rozhan menjadikan Al-Quran sebagai teman karib”

Membuka bicara, beliau menceritakan zaman mudanya yang warna-warni dalam politik dan kerja-kerja masyarakat. Beliau mendapat pendidikan agama yang agak baik sehingga boleh membaca Al-Quran dan berbahasa Arab dengan baik. Qasidah dan berzanji adalah salah satu kemahiran beliau semasa mudanya.

Dalam usia 40an beliau berhijrah ke Brunei memulakan penghidupan baru dengan menjadi guru agama dan membuka perniagaan restoran dan penyajian (catering) dan kemudian berpindah ke Kota Kinabalu dan akhirnya membuka perniagaan mee.

Memaafkan semua orang

Ayahanda Hj. Rozhan memaklumkan rahsia kejayaan beliau mentadbir perniagaannya sejak 15 tahun adalah kerana sikap sentiasa memaafkan pekerja-pekerjanya dan semua orang. Walaupun beliau tahu ada pekerjanya yang tidak jujur (menyebabkan perniagaanya rugi) beliau tetap maafkan mereka dan yakin beliau sentiasa di bantu oleh Allah SWT dalam menghadapi masalah perniagaan. Pernah suatu masa kilang meenya boleh mengeluarkan sampai 2500kg mee menurun kepada 600kg dan melonjak semula ke 1000kg. Isu utama yang beliau hadapi dalam perniagaannya adalah prestasi dan integriti pengurus-pengurusnya. Beliau tetap tabah dan sabar dalam menghadapi cabaran-cabaran perniagaan termasuk persaingan dengan pengeluar-pengeluar mee bukan Islam di sekitar Kota Kinabalu.

Bersolat malam (tahajjud) dan membaca Al-Quran

Beliau juga berpesan supaya rajin-rajin untuk bangun solat malam dan membaca Al-Quran dengan betul. Bersolat malam (tahajjud) dan membaca Al-Quran menjadikan beliau merasa dekat dengan Allah SWT, sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah SWT, sentiasa diberi petunjuk dan dibantu Allah SWT, hidupnya bahagia, dan rezeki murah.

Memahami makna bacaan Al-Quran

Supaya lebih berkesan dalam penghayatan Al-Quran beliau berpesan selain membaca Al-Quran dengan betul (dan istiqamah) memahami makna setiap ayat yang dibaca adalah penting. Beliau berpendapat tahu bahasa Arab tidak bermakna boleh faham Al-Quran, oleh itu beliau syorkan dapatkan kitab tafsir Al-Quran yang menjelaskan makna setiap kalimah (perkataan). Bila kita tahu makna setiap kalimah pemahaman kita lebih berkesan berbanding sekadar tahu makna sesuatu ayat Al-Quran.

Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah

Ayahanda Hj. Rozhan menyatakan untuk berjaya dalam perniagaan sifat-sifat utama Nabi Muhammad SAW: Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah perlu diberi pehatian dan menjadi amalan beliau dalam mentadbir perniagaannya. Kita dan pekerja perlu bersikap siddiq (benar) dan amanah (jujur) dalam setiap tindakan. Pada masa yang sama kita perlu bijaksana (fatonah) dalam mengatur strategi perniagaan dan mengamalkan tabligh (komunikasi) berkesan setiap masa. Pada padangan beliau, jika salah satu sifat gagal atau tidak seimbang maka pincang sesuatu perniaagaan.

6 zikir popular

Ayahanda Hj. Rozhan menganjurkan supaya sentiasa berzikir (serta berfikir). Berzikir boleh dilakukan dengan perkataan, hati atau kedua-duanya. Boleh menngguna tasbih untuk mengira bilangan zikir atau tanpa tasbih. Antara zikir yang disyorkan untuk di amalkan setiap hari adalah: 1) Istighfar (100x), 2) tasbih (100x), 3) tahmid (100x), 4) takbir (100x), 5) tahlil (100x), 6) selawat (100x) (zikir-zikir ini adalah popular dan diamalkan oleh orang-orang soleh dan bersumber daripada hadis-hadis sahih yang boleh dirujuk di dalam mana-mana kitab zikir/hadis). Dengan mengamal zikir-zikir yang ringkas ini beliau merasa tenang, bahagia dan rezekinya murah disamping diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Saya yakin pengalaman dan ilmunya Ayahanda Hj. Rozhan yang dikongsikan ini dapat memberi sedikit input kepada kita dalam menjalani kehidupan bertakwa yang lebih baik. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada Ayahanda Hj. Rozhan sekeluarga dan juga kita semua yang mendapat manfaat daripada catatan pengalaman beliau ini.

No comments:

Post a Comment