Monday, August 24, 2009

Tiga pesanan dalam mendidik anak

Semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke KLIA (pertengahan Ogos 2009) saya berpeluang berkongsi pengalaman bersama Abang Mad (seorang pemandu yang berumur dalam 50’an) mengenai akhlak anak-anak. Beliau mempunyai 4 orang anak yang kesemuanya bersekolah agama kecuali yang bongsu. Pada pandangan beliau akhlak anak-anak bergantung kepada ibu-bapa untuk mencorakkannya. Faktor pendidikan agama, role model dan kebiasaan-kebiasan adalah antara perkara-perkara penting untuk dititik berat oleh ibu-bapa.

Abang Mad menjelaskan bahawa anak-anaknya yang bersekolah agama sejak kecil mempunyai akhlak yang tinggi dalam kehidupan dan taat mengamalkan ibadat-ibadat wajib selaku seorang Islam. Perwatakan berbeza ditunjukkan oleh anaknya yang bongsu berbanding dengan abang dan kakaknya memandangkan dia tidak bersekolah agama dan mungkin kerana kebongsuannya. Namun begitu secara keseluruhannya beliau sangat bersyukur kepada Allah SWT dianugerahkan anak-anak yang berakhlak tinggi dan sangat rapat dengan keluarga. Pendek kata nilai-nilai akhlak Islam seperti taat beribadat, menghormati orang tua, bergaulmesra dengan adik beradik terserlah dalam diri anak-anaknya. Beliau juga menyatakan anak-anaknya menjadikan naskah terjemahan al-quran kecil (bersaiz poket) sebagai pendamping kemana mereka pergi terutama bila berada di asrama.

Pendidikan agama yang diberikan oleh Abang Mad kepada anak-anaknya disusuli dengan contoh-contoh amalan akhlak Islam yang diamalkan sendiri oleh Abang Mad dan isterinya di rumah dan dimana-mana secara konsisten. Dengan cara ini anak-anak akan melihat secara jelas apa-apa yang dibelajar di sekolah juga di amalkan oleh ibu-bapa. Bagi Abang Mad mewujudkan persekitaran yang baik (Islam) dalam kehidupan anak-anak di rumah dapat membantu membentuk akhlak anak-anak. Ini bermakna apa-apa yang mereka belajar di sekolah dapat diterjemah atau telahpun diamalkan di rumah oleh orang-orang di kelilingnya.

Abang Mad juga bersetuju bahawa ibu-bapa perlu menerapkan amalan-amalan baik (kebiasaan-kebiasaan) sejak awal untuk membentuk akhlak anak-anak. Sebagai contoh memanggil dengan panggilan yang baik dan penuh rasa hormat. Abang Mad tidak bersetuju jika ibu-bapa di panggil dengan ‘orang tua’, yang padanya masih ada panggilan yang lebih baik untuk menghormati kemuliaan ibu-bapa yang melahirkan, membesar dan mendidik anak-anak sehingga berjaya. Panggilan atau perkataan yang baik serta tabiat-tabiat yang baik perlu dipupuk kepada anak-anak sewal usia mereka supaya mereka membesar dalam suasana positif - mereka sentiasa melihat yang positif, mendengar yang positif, berkata-kata yang positif dan akhirnya membentuk sikap yang positif dan kehidupan yang berakhlak mulia.

Saya yakin Abang Mad bercakap daripada pengalaman dan ilmunya yang benar diperolehinya. Semoga pengalaman yang dikongsikan ini dapat memberi sedikit input kepada kita dalam menjalani kehidupan bertakwa yang lebih baik. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada Abang Mad sekeluarga dan juga kita semua yang mendapat manfaat daripada pengalaman beliau ini.

No comments:

Post a Comment