Monday, August 10, 2009

Akhlak dan pornografi di Internet

Saya berkesempatan mengikut slot motivasi pagi di TV1 pada 11.8.09 yang disampaikan oleh seorang pakar motivasi dengan gaya yang menarik dan meyakinkan. Beliau memperkatakan mengenai isu pornografi yang semakin parah yang disebarkan melalui Internet (dan juga SMS) yang memberi kesan negatif kepada akhlak remaja. Bahan-bahan berunsur sek sangat banyak dan boleh didapati daripada Internet dengan mudah.

Kewujudan teknologi kamera mikro (sebesar biji kacang hijau) yang mungkin dipasang di tempat strategik (seperti bilik hotel, bilik air, dan tandas) oleh penjenayah sek memudahkan lagi untuk proses merakam gambar-gambar individu tanpa disedar dalam posisi yang menghairahkan. Gambar-gambar atau video yang dirakam kemudian di muatnaik ke Internet dan dapat diakses oleh sesiapa sahaja. Sungguh mengaibkan!.

Antara kesan ketagihan pornografi (Internet) kepada remaja (atau sesiapa sahaja) menularnya jenayah sex, rogol atau zina di kalangan masyarakat. Perkara ini berlaku dimana-mana dalam atau luar Negara. Beliau memaklumkan setakat ini tiada undang-undang berkesan untuk mengawal atau menyekat gejala ini. Ada pemanggil yang mencadangkan ibu bapa dan guru-guru memainkan peranan yang lebih berkesan untuk mendidik dan mengawal tingkah laku murid-murid yang mudah terpengaruh dengan unsur-unsur sek yang disebar melalui Internet.
Pada pandangan saya, perkara ini adalah berkaitan dengan masalah akhlak individu yang tidak dibentuk daripada awal oleh institusi keluarga, sekolah dan masyarakat. Kegagalan untuk mendidik dan membentuk akhlak anak-anak mengakibatkan mereka membesar dalam keadaan yang tidak seimbang dan terumbang-ambing yang akhirnya mereka gagal untuk menentukan sesuatu perkara itu baik atau buruk daripada awal. Lebih malang lagi apabila mereka dewasa, pemikiran dan tabiat negatif (seperti pornografi dan lain-lain) yang dipelajari melalui pengalaman atau daripada pihak-pihak yang bukan bersifar ‘guru atau pendidik’ (tidak bertanggungjawab) masih diwarisi dan diamalkan. Mereka tidak mengambil usaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri dan seterusnya mengubah keadaan sekeliling – membetulkan anak-anak, isteri dan kaum keluarga.

Sebagai rumusan adalah disarankan supaya setiap daripada kita mengambil langkah-langkah positif dan berkesan untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan diri dengan bersungguh-sungguh secara berterusan, berusaha untuk menjadi contoh yang baik (role model) kepada isteri, anak-anak, keluarga dan masyarakat, sentiasa berdampingan dan merapatkan silaturrahim dengan keluarga dan masyarakat dan yang paling penting kembalilah kepada menjalani kehidupan insan takwa (sentiasa menjunjung tinggi perintah Allah SWT dengan amal kebaikan dan menegah diri daripada perkara-perkara maksiat dan dosa setiap). Kehidupan bertakwa cuma boleh dicapai melalui ilmu, iman,amal soleh dan komitmen berterusan (istiqamah). Oleh itu tuntutlah ilmu daripada guru-guru yang berwibawa (baik dan diiktiraf) supaya ilmu, iman dan amal kita nanti benar, diterima Allah SWT dan kita tidak menyesal dihari tua dan dihari kemudian.

No comments:

Post a Comment