Monday, August 3, 2009

Kisah Pencari Tiram

Dikisahkan ada seorang pencari tiram yang berkerja dengan majikannya dengan menyelam di dasar laut untuk mencari tiram sebanyaknya setiap kali ditugaskan menyelam. Pada suatu hari pencari tiram ini, dengan berbekalkan 1 tanki oksigen, alat penyelam dan alat untuk memungut tiram, telah menyelam ke dasar laut. Bila sampai di dasar laut beliau teruja dengan keindahan dan suasana hidupan laut yang menakjubkan sehingga beliau asyik menyelam dan berenang disekitarnya untuk menikmati keindahan dasar laut tersebut. Akhirnya beliau tersedar tangki oksigen semakin ringan dan mungkin mengancam nyawanya jika tidak segera naik ke darat. Dalam keadaan cemas beliau tidak sempat memungut tiram dan terus naik ke darat sebelum kehabisan oksigen. Majikannya sangat marah kerana beliau gagal untuk menyempurnakan tugasnya untuk memungut tiram pada hari itu padahal majikannya terpaksa menanggung kerugian. Akhirnya beliau dipecat daripada pekerjaannya kerana kecuaiannya.

Moral daripada cerita pendek ini bolehlah disimpulkan bahawa kehidupan kita didunia mempunyai matlamat tertentu, masanya terhad, bekalannya (sumber-sumber) terhad dan kita perlu berusaha menentu dan mencari jalan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan berbekalkan sumber-sumber yang terhad dan akhirnya kita akan dipertanggungjawab terhadap pencapaian matlamat berbanding dengan masa dan bekalan yang dihabiskan (bila tiba masanya).

Soalnya apakah matlamat itu? Apakah masa terhad itu? Dan apakah sumber-sumber itu? Bila kita akan dipertanggungjawab terhadap pencapaian kita?

Berbalik kepada kisah penyelam tiram itu, alangkah eloknya jika beliau tahu matlamat untuk dicapai selepas aktiviti menyelam dan tetap berperinsip kepada matlamat tersebut dengan mengenepikan gangguan serta godaan yang boleh menghalang dirinya untuk mencari tiram. Beliau juga perlu tahu berapa lama masa untuk mencapai matlamat untuk mencari tiram dan berapa kuantiti oksigen yang dibawa. Dengan maklumat yang ada dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengutip tiram sebanyak mungkin beliau akan menjadi kebanggaan majikannya. Beliau dianggap bertanggungjawab dan telah melaksanakan tugasnya dan sudah tentu dia akan disayangi oleh majikan dan menjadi contoh kepada pekerja-pekerja lain.

(Sumber: Tn. Haji Thazali, LKIM dan rumusan daripada perbincangan usrah Subuh di Masjid Negeri Sabah pada 4.8.09)

No comments:

Post a Comment